 |
Cekodok ke cengkodok? - CEKODOK PISANG MAT GEBU |
"Aaaamiiinnn...."
Iman menjengukkan kepala meninjau ruang depan yang dijadikan ruang solat orang-orang kampung. Usai sudah laksanakan solat wajib terakhir pada hari itu.Imam Ahmad mengetuai jemaah menunaikan solat hinggalah selesainya bacaan doa. Tua sungguh Imam Ahmad. Tapi kudratnya masih ada dan bertenaga untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya menjadi Khalifah Allah di dunia ini.
"Iman!"
Iman menoleh kebelakang. Dilihatnya sebuah talam berisi lauk 'berkat' dihulurkan kepadanya.
"Apa kau jenguk-jenguk tu dari tadi?Ambil talam ni.Letak dekat hujung pintu tu.Senang sikit nanti jemaah nak ambil."arah Cik Leha kepada Iman.
Iman mengiakan sahaja arahan dari Cik Leha. Orang-orang Jawa memang terkenal dengan lauk 'berkat'. Dari mana asal-usulnya tidak diketahui Iman.Sudah menjadi adat orang-orang Kampung Bukit Bakong untuk membekalkan 'berkat' sebagai tanda sedekah dan berterima kasih kepada orang kampung yang sudi datang ke kenduri tuan rumah.Sebagai tanda mendapat keberkatan Allah dari keikhlasan tuan rumah.
Entahlah. Tapi mak pernah cakap,Sebenarnya 'berkat' dibekalkan untuk dijadikan bukti kepada isteri di rumah yang suami mereka memang ke kenduri.Bukan melenong ke tempat lain.
Iman mengambil talam yang telah dihulurkan tadi dan dengan berhati-hati disusun sebelah-menyebelah dengan talam-talam lain yang berisi 'berkat' tadi. Dia mengambil kuih-muih yang telah dibungkus kemas dalam plastik dan meletakkannya di dalam bekas kotak air mineral. Senang jemaah nak ambil.
Malam itu,langit nampak pekat gelap.Guruh kedengaran dari jauh. Mungkin sekejap lagi hujan akan datang. Iman segera bangkit dan berjalan menuju ke dapur. Jemaah sudah selesai makan kudapan dan terus mengambil bungkusan 'berkat'.Ramai yang setelah bersalam-salaman terus keluar untuk pulang ke rumah masing-masing. Mungkin takut ditimpa hujan barangkali. Yang tinggal hanya Imam Ahmad dan beberapa ahli kariah surau yang masih berbual-bual dengan abah. Nampak seperti perbincangan ahli-ahli politik di Dewan Parlimen. Serius sungguh.
Iman mengambil bekas-bekas lauk yang sudah kosong dan menyusunnya di atas singki. Mudah sedikit kerjanya nanti. Sedang dia sibuk melakukan kerja, tiba-tiba bahu kanannya dicuit orang. Iman segera menoleh. Dilihatnya Kak Ani anak Cik Leha tersengih memandangnya.
"Eh,kak!Bila sampai?Dah habis dah pun kendurinya.Hehe,"sapa Iman kepada orang yang dipanggilnya Kak Ani itu.
Kak Ani menyambut huluran salam tangan Iman sambil mencebikkan mulut.
"Baru je sampai.Kau sihat?Tak nampak pun mak kau?"
"Ada kat depan.Tengah susun sofa dengan Abang Jun.Akak dah makan belum?"
"Belum...Eh,jomlah kau temankan aku makan.Pinggan mangkuk ni nanti sahaja kau basuh.Tak banyak pun,"ajak Kak Ani.
"Bolehlah.Iman pun belum makan lagi dari tadi.Akak duduk dulu kat meja makan tu. Nanti Iman cedokkan lauknya".
Kak Ani dengan segera melabuhkan punggungnya di atas kerusi makan.
Sekilas dipandangnya Kak Ani.Sungguh anggun dia malam itu.Selendang biru yang dipakainya menampakkan jambul rambut perang didepannya.Bersolek bak primadona. Bibir merah saga, mata berpembayang biru.Dipadankan dengan warna selendangnya,mungkin.
Iman meletakkan lauk di atas meja. Dia menyuakan sepinggan nasi kepada Kak Ani. Kak Ani segera menuang air sirap ke dalam gelas yang memang sudah tersedia di atas meja makan.
"Jemputlah makan,kak. Mak kata hari ni semua masak pakai resepi Cik Leha. Sedap betul!"
Sengaja Iman memuji Kak Ani dan ibunya. Sebenarnya,Cik Leha yang beria-ia menawarkan diri untuk menjadi ketua rewang pada kenduri hari ini. Mak tak kisah. Asalkan semuanya sempurna dan dapat dihidangkan kepada tetamu.
"Eh,kau tak tahu ke mak aku tu memang handal bab-bab masak ni. Macam aku. Aku pun handal juga. Handal berniaga jelah.Masak tak tahu,"balas Kak Ani sambil mulutnya mengunyah makanan.
Tiba-tiba, Kak Ani terdiam.Dia memandang Iman dengan kening berkerut.
"Kau dah lama kerja dekat Bangi tu,kan?Umur kau berapa sekarang?26,27?Kau bila nak kahwin?".
Bertalu-talu pertanyaan daripada Kak Ani. Tak sempat Iman hendak menjawabnya. Dibiarkan sahaja Kak Ani menghabiskan ayat pertanyaannya.
"A'ah. Kerja lagi dekat sana. Iman baru 24,kak.Kahwin?Tak tahulah.Kalau ada rezeki Allah nak sampaikan jodoh Iman, adalah tu.Kalau tak,kita tawakkal je lah,"balas Iman dengan senyuman.
"Eeehhh...orang perempuan ni mana boleh tunggu saja jodoh dia datang. Jadi anak dara tua la jawabnya kalau tawakkal je tak ada usaha nak pilih lelaki kau suka.Kau tengok aku ni. Dulu ramai yang nak pikat Abang Zack. Tapi, akak habis beratus ringgit nak nampak cantik depan dia. Hari-hari akak bagi dia coklat. Kadang-kadang bagi hadiah walaupun akak tengah sengkek masa tu. Orang lelaki ni, Iman.Kalau kita layan dia elok-elok,tunjuk yang kita hargai dia,dia senang je nak cair dengan kita perempuan ni. Lagi la dulu dia suka tengok akak nampak seksi. Dia kata tak kisah kalau akak nak bergaya macam anak dara lepas kahwin.Tu yang akak sayang sangat dekat dia tu. Dia tak kisah akak nak pakai apa, nak buat apa,nak pergi mana. Akak rasa bebas. Cuma kadang-kadang dia cemburu juga kalau ada lelaki lain pandang akak.Oh,sooo sweeett,"balas Kak Ani dengan bangganya menceritakan kisah silam dia memikat Abang Zack.
Iman hanya tersenyum sahaja tanpa membalas dan mencedokkan lagi lauk ke dalam pinggan Kak Ani.
"Eh, dah-dah.Kau tak payah cedokkan lauk lagi. Aku dah kenyang. Kang gemuk pulak,Abang Zack tak nak tegur Kak Ani berhari-hari,"sengih Kak Ani sambil menghabiskan suapan terakhir. Dia menuju ke singki dan meletakkan pinggan kotornya dan membasuh tangan. Diambil sehelai kertas tisu dan mengelap tangannya.
"Aku tak dapat nak tolong kau basuh pinggan mangkuk nilah,Iman. Kena balik cepat. Abang Zack kata nak ajak pergi tempat lain. Ajak shopping la kot.Maaflah ye".
"Tak apalah,kak.Bukan banyak pun. Kirim salam dekat Abang Zack."
"Yalah,yalah."
Kak Ani menghulurkan tangan untuk bersalam dan terus menuju ke bahagian hadapan rumah. Mungkin nak berjumpa dengan mak,fikir Iman.
Malam itu, kerja-kerja dapur disiapkan Iman sehingga pukul 11 malam. Abah dan mak masih di luar rumah. Menghirup kopi panas sambil berbual kosong. Abang Hadi,Abang Lan dan Abang Jun masing-masing terbongkang kepenatan di ruang tamu. Diluar, hujan lebat menimpa bumi Allah ini. Semoga hujan yang dibawakan ini memberi seribu rahmat kepada penghuni alam.
Iman membawa dulang berisi cengkodok panas ke beranda rumah dan menghidangkannya kepada mak dan abahnya.
"Terima kasih,Iman. Rajinnya anak mak ni. Kau dah makan?" tanya mak dengan penuh kelembutan.
Suka benar Iman melihat senyuman mak. Walaupun wajah mak sudah dimamah usia, kelembutan seorang ibu tetap terpancar di wajah mak. Hilang rasa segala penat kenduri melihatkan sinar muka mak.
"Dah,mak. Tadi,makan dengan Kak Ani,"jawab Iman sambil menghulurkan cengkodok kepada Abah.
"Kamu cerita apa dengan Kak Ani? Bersungguh mak tengok dia bercerita dengan kamu?"
"Tak ada apa-apa. Biasalah Kak Ani tu,mak. Kalau jumpa memang macam-macam dia nak cerita dengan Iman."
"Baguslah. Kamu pun dah lama tak jumpa dia. Dia pun dah jarang-jarang balik rumah Cik Leha. Kalau balik pun, sekejap-sekejap sahaja kata Cik Leha kau. Itupun selalu balik seorang tanpa Zack,"cerita mak sambil menghirup kopi.
Dahi mak berkerut seakan memikirkan sesuatu.
"Semalam Cik Leha ada cerita dengan mak. Dia sedih dengan hidup Kak Ani. Kalau mak cerita ni, kau jangan ingat mak nak sibuk hal rumahtangga orang. Cik Leha dah pesan dekat mak, kalau mak nak cerita,biarlah cerita dengan kau. Perempuan sama perempuan. Kau anak dara. Belum kahwin. Sekurang-kurangnya ada ilmu untuk mengenal persediaan sebelum berumahtangga. Memang jodoh di tangan Tuhan, tapi sekurang-kurangnya kita persiapkan diri kita dengan cabaran-cabaran hidup untuk berkeluarga ni," terang mak bersungguh-sungguh.
Iman hanya menadah telinga mendengar nasihat mak. Secuit pun tidak mencelah. Iman menoleh ke arah abahnya. Masih tenang dan menghirup baki air kopi di dalam cawan sehingga habis.
Iman menoleh semula kepada maknya apabila dia mendengar mak bersuara.
"Zack ada datang rumah Cik Leha 3 hari lepas. Mengaku kesalahan dia dekat Cik Leha dan Cik Kasim. Kesalahan yang dia mengaku dah lakukan sebelum kahwin lagi. Masa tu, Cik Leha tak faham lagi apa yang Zack cuba cakap. Dia minta Zack berterus-terang. Masa itulah Zack mengaku yang dia memang tak cintakan Ani dari dulu lagi. Dia mengaku dah terlanjur dengan kawan tempat dia kerja. Dengan lelaki," mak menghelakan nafas yang panjang.
Aku terkedu. Hampir-hampir tidak percaya. Abang Zack cinta lelaki?Apakah Abang Zack seorang......
Mak menyambung."Zack mengaku yang dia kahwin dengan Ani bukan sebab cinta. Tapi, sebab dia terdesak masa tu. Mak dan ayah dia desak dia segera kahwin. Nak ada pewaris lelaki. Memang mereka mementingkan keturunan. Warisan nama keluarga mereka tak boleh putus kepada anak perempuan. Sangat berharga katanya. Jadi, Zack memutuskan mahu meminang Ani. Keluarga Zack pun suka dengan Ani sebab dia cantik dan pandai lagi. Ani masih tak tahu sikap sebenar Zack. Dia tak berani nak berterus-terang dengan Ani. Takut Ani tak dapat nak terima. Cik Leha kata malam ni Zack akan mengaku segala-galanya dengan Ani," cerita mak dengan panjang lebar.
Tiba-tiba Iman teringat Kak Ani ada cakap Abang Zack nak bawa dia ke suatu tempat. Mungkin Abang Zack mahu buat pengakuan.
Entahlah. Simpati Iman dengan nasib Kak Ani.
"Kau nanti nak kahwin, mak nasihatkan selidik dulu latar belakang orang yang kau pilih nak jadikan suami. Jangan sebab cinta, kau hilang semua fikiran waras. Melayang entah ke mana. Nasihat orang dah tak ambil peduli."
"Sudahlah. Kau pun dah penat. Pergi masuk tidur. Mintak-mintaklah segalanya dipermudahkan Allah untuk Ani dan keluarga Cik Leha," kata mak sebelum bangun dari tempat duduknya dan menuju ke ruang tamu. Abah sudah lama masuk ke dalam rumah. Penat barangkali.
Di atas katil, Iman merenung jauh ke arah siling.
Iman terngiang-ngiang akan kata-kata Kak Ani.
"Cuma kadang-kadang dia cemburu juga kalau ada lelaki lain pandang akak.Oh,sooo sweeett".
Mungkin Abang Zack tak cemburu pada Kak Ani.
Mungkin Abang Zack terkilan.
Terkilan kenapa bukan dia yang dipandang.
"Astaghfirullah....".Iman memarahi dirinya sendiri kerana berfikiran jahat seperti itu.
Entahlah. Kadang-kadang kita tak memahami kitaran hidup di dunia ini. Perancangan Allah yang rapi, selalu manusia persoalkan.
Malam itu, Iman sukar melelapkan mata. Dia termenung panjang memikirkan ragam manusia. Ditemani derapan hujan yang menimpa rumah beratap zink,berdinding batu.
Anak Kak Yah
Batu Pahat
20/11/2014